Vrihanala tekun mengajar muzik dan tarian di istana Raja Virata. Walaupun usianya sudah lanjut, lelaki yang mengaku sudah dikasi itu masih bertenaga untuk membimbing putera-puteri dan anak-anak bangsawan di istana.
"Si eunuk ini masih jelita memakai pakaian penuh warna," bisik seorang putera remaja yang sentiasa memperhatikannya.
"Jadi, bayangkan sahaja betapa jelita Vrihanala pada usia muda!" Sahut seorang puteri. "Pasti ramai putera dan raja yang tergoda."
Mereka masih ingat pelbagai kisah yang diceritakan oleh Vrihanala kepada putera dan puteri di istana sejak kecil.
Sering kali sida-sida itu menceritakan pengalaman mengiringi seorang raja ke sebuah negara nun jauh di sana.
Pada waktu itu, Vrihanala pergi berpakaian seperti lelaki. Hulubalang di istana negara asing itu sepatutnya melakukan serang hendap dan menikamnya dari belakang.
"Begitu asyik saya menari mengikut alunan muzik di istana. Para hulubalang dan pegawai istana terus leka melihat lenggok tari saya sehingga mereka terlupa untuk menikam!"
Kisah mengenai apa yang berlaku di sebuah tanah asing bernama Majapahit sentiasa membuatkan putera-puteri dan sesiapa sahaja yang mendengar ketawa gembira.
Setiap kali anak-anak di istana meminta Vrihanala menceritakan asal-usul dirinya, lelaki/wanita itu akan memilih untuk bercerita tentang Arjuna daripada epik Mahabharata.
"Kisah Laksamana Arjuna lebih menarik berbanding kisah diri saya. Saya hanyalah seorang lelaki tua yang sudah dikendiri akibat sumpahan Urvasi."
Kata-kata yang sebenarnya berisi kesedihan dan penderitaan itu sering disambut tawa putera-puteri yang masih kanak-kanak.
Vrihanala akan bercerita mengenai Raja Pandu yang mengahwini Pritha dan Madri.
"Malangnya Raja Pandu menanggung sumpahan di mana dia tidak boleh menjadi bapa," Vrihanala sering bercerita apabila ada masa terluang antara sesi kelas tarian dan muzik.
"Seperti Vrihanala juga?"
"Ya, ya. Nampaknya seperti saya juga." Vrihanala akan ketawa sebelum menyambung cerita. "Tapi mujurlah Pritha ada mantera yang dipelajari daripada seorang maharishyi bernama Durvasas."
Tak masuk akal
Akan diceritakannya bagaimana Pritha menggunakan mantera itu untuk mengandung dan melahirkan tiga putera iaitu Yudhishthira, Bhima dan Arjuna.
Madri turut diberi peluang menggunakan mantera sama; lalu melahirkan pasangan kembar, Nakula dan Sahadeva.
"Oh! Bukankah ini kisah Pandava? Mengapa pula Arjuna dipanggil Laksamana Arjuna?" Tanya seorang putera yang sudah remaja.
Apabila ditanya soalan-soalan seumpama itu, Vrihanala biasanya termenung seketika. Bagaikan mencari apa-apa cerita rekaan yang boleh disampaikan sebagai jawapan yang mampu diterima akal.
"Oh, benar. Tapi gelaran laksamana itu diberi apabila Arjuna dan empat saudaranya dibawa menaiki kapal laut menuju ke tanah asing untuk berkhidmat di sana sebagai hulubalang."
Putera-puteri dan hulubalang yang berada di kawasan sekitar dewan tarian akan menumpukan perhatian. Mereka teruja mendengar kisah-kisah yang belum pernah mereka ketahui sebelum ini.
"Tapi bukankah watak Laksamana muncul dalam Ramayana dan bukannya Mahabharata? Hanya Hanuman yang muncul dalam kedua-dua epik itu," seorang puteri mencelah.
"Memang benar, sayang," Vrihanala menjawab dengan penuh kasih. "Apabila kelima-lima saudara itu dibawa ke negara asing sebagai utusan diraja untuk menjadi hulubalang demi mempertahankan negara itu daripada serangan musuh, mereka diberi nama dan gelaran baru."
Ternyata kisah-kisah yang dipintal Vrihanala sentiasa menarik minat pendengar pelbagai usia. Rata-rata hulubalang istana Raja Virata di Bairat meragui kesahihan fakta dalam cerita-cerita yang disampaikan eunuk itu.
Akan tetapi, mereka tetap seronok mendengar kisah-kisahnya yang berbaur antara realiti dan fiksyen, fakta dan imaginasi.
Putera-puteri yang bosan mendengar kisah perang antara Pandava dan Kaurava selalu juga meminta Vrihanala bercerita tentang kisah putera-puteri.
"Suatu hari, Arjuna, Yudhishthira, Bhima, Nakula dan Sahadeva diutuskan oleh seorang raja ke sebuah istana di atas gunung. Di sana, Arjuna berjaya menggunakan ketampanan yang dimiliki untuk menggoda seorang puteri yang jelita."
Kisah-kisah seperti itu sentiasa menarik perhatian pendengar. Mereka tidak bertanya nama negeri atau nama raja yang terlibat. Akan tetapi, nama puteri dilihat sebagai penting dan perlu diketahui.
"Apakah nama puteri yang jelita itu?" Sering beberapa puteri dan putera yang berusia remaja bertanya atas dasar dan keperluan yang berbeza.
"Namanya Pooja atau juga dipanggil Draupadi. Puteri jelita itu terus tergoda melihat ketampanan Arjuna. Putera berkenaan pula menggunakan kehebatannya bermain senjata untuk muncul juara dalam sayembara yang diadakan."
"Pertandingan memanah, bukan?" Seseorang bertanya.
"Oh, tidak. Di negara asing itu, mereka menggunakan senjata menyerupai pisau. Arjuna pula memiliki pisau sakti yang membuatkannya kebal," Vrihanala menjelaskan.
Sering kali apabila Vrihanala bercerita, bukan hanya putera-puteri yang mendengar. Selain daripada hulubalang, penghuni dan pekerja lain di istana juga mengambil peluang untuk mendengar sambil berpura-pura tekun bekerja.
Cerita rekaan
Mereka sedar bahawa kisah-kisah yang dipintal oleh lelaki berpakaian wanita itu hanyalah rekaan semata-mata. Namun, tidak mustahil bahawa ada fakta walau sekecil kuman di sebalik segala kisah yang disampaikannya.
"Apakah yang berlaku seterusnya? Laksamana Arjuna mengahwini Pooja, bukan?"
"Tidak, sayang," Vrihanala sering menyambung cerita setelah termenung jauh bagaikan mengimbau kisah silam. "Mereka berdua hanya sempat bercinta, tidak sempat berkahwin."
Lalu, Vrihanala menceritakan bagaimana apabila kelima-lima putera itu mengutus berita kepada Pritha di negara asal untuk memaklumkan bahawa mereka bakal pulang dengan hadiah istimewa, si ibu itu menyangka mereka merujuk pada hadiah berbentuk barangan.
"Pritha pula mengirim utusan balas secara bertulis bahawa mereka lima adik-beradik mesti berkongsi hadiah itu sama rata!"
Mulut setiap individu yang mendengar cerita Vrihanala pasti terlopong. Masing-masing memikirkan pelbagai kemungkinan mengikut kemampuan taakul yang dimiliki.
Pendengar dewasa pula tahu bahawa kisah yang disampaikan itu adalah daripada Mahabharata karya Vyasa. Namun, mereka tetap berminat mendengar versi yang dipintal oleh Vrihanala dengan penuh kreatif.
"Jadi, apa nasib Draupadi?" Seseorang bertanya beberapa minit selepas itu; mungkin kerana tidak mampu menanggung perasaan ingin tahu.
Vrihanala tersenyum pahit sambil merenung kejauhan. Bagaikan mengimbau sejarah silam atau pengalaman dirinya sendiri.
"Laksamana Arjuna memutuskan untuk menyerahkan Pooja kepada raja yang memerintah negeri tempat dia berkhidmat. Lagi pun, Arjuna ada tiga isteri lain iaitu Subhadra, Uludi dan Chitrangada."
"Baguslah!" Seorang putera mencelah. "Lebih baik dipersembahkan sebagai hadiah kepada raja daripada lima adik-beradik itu terpaksa berkongsi seorang isteri."
"Eh! Tapi bagaimana dengan cinta Pooja terhadap Laksamana Arjuna?" Seorang puteri pula mengemukakan pandangan. "Apakah wanita hanya barangan yang boleh diperdagangkan sesuka hati oleh kaum lelaki?"
Setiap kali pertanyaan seperti itu muncul, Vrihanala akan menjadi sayu. Dia semacam mengakui malapetaka yang menimpa Draupadi dan derita yang ditanggung oleh Pooja.
Pada waktu-waktu bersendirian, Vrihanala sering mengimbau akan pengalaman zaman mudanya. Dia selalu terkenang akan kehidupan di kota Hastinapur di mana dia pernah belajar memanah dan menggunakan pelbagai senjata daripada Kripacharya.
Dia akan terbayang-bayang pengalaman berguru pada Adiputra di puncak gunung. Juga tentang kedatangannya ke istana Raja Virata di Jaipur sebagai orang kasi, lalu menjadi guru tarian dan muzik.
Yang mana benar
Vrihanala selalu bermimpi tentang lima bersaudara yang menyelamatkan seorang perdana menteri daripada ditikam seorang individu yang mengamuk sebaik keluar penjara.
Vrihanala sering tidak tahu yang mana benar dan yang mana khayalan. Baginya, semuanya adalah benar dan semuanya juga adalah khayalan. Mainan jiwa yang menderita.
Pada saat fikirannya bercelaru, lelaki yang mengaku sudah dikasi itu akan memakai pakaian yang indah-indah. Dia gemar mengenakan skirt labuh warna hitam yang dihiasi reben warna perak.
Vrihanala akan menari tarian Kalbelia seorang diri di dewan tari istana Raja Virata tanpa iringan muzik pungi, dufli dan dhalok yang sering menjadi pilihan golongan Jogira.
Pada saat-saat itu, dia dapat membayangkan bagaimana Yudhishthira, Bhima, Arjuna, Nakula dan Sahadeva dibawa menaiki sebuah kapal laut untuk menyamar sebagai hulubalang dan berkhidmat di sebuah negara asing yang memerlukan perlindungan daripada serangan tentera Siam.
Sambil menari berpusing-pusing – semakin lama, semakin pantas – Vrihanala dapat merasakan dirinya turut berlayar bersama-sama lima bersaudara itu ke tanah asing di seberang laut.
Apakah mereka benar-benar pergi ke sebuah negara asing atau hanya semangat dan cerita mereka dibawa menaiki sebuah kapal laut menuju negara itu yang memerlukan suntikan semangat daripada kisah-kisah pahlawan dalam Ramayana dan Mahabharata?
Vrihanala memikirkan persoalan itu sambil matanya terpejam dan dia terus menari berpusing-pusing tanpa iringan sebarang muzik. Gerak tari Kalbelia semakin pantas.
Wajah Pooja muncul dalam minda. Puteri Pooja yang gembira melihat kedatangan Laksamana Arjuna.
Wajah Draupadi muncul dalam fikiran. Puteri Draupadi yang tertarik memandang ketampanan Putera Arjuna.
Wajah Pooja yang terpaksa reda diserahkan kepada raja yang berkuasa. Wajah Draupadi yang terpaksa reda tubuhnya dikongsi lima bersaudara.
Kemudian muncul wajah tampan Laksamana Arjuna. Laksamana yang tiba-tiba ghaib dari sebuah negara asing selepas mengirim utusan bertulis cakar ayam kepada buah hatinya di istana.
"Kekasihku, Pooja. Bunga-bunga cintaku padamu takkan melayu dan takkan hilang selagi adanya pasir di dunia."
Bibir Vrihanala terkumat-kamit melafazkan janji itu berulang kali sambil dia menari semakin tangkas tanpa menghiraukan air mata yang bercucuran.
Uthaya Sankar SB mendapat idea bagi faksyen ini selepas tertarik dengan watak Vrihanala yang kurang dikenali dalam epik Mahabharata. Katanya, cerpen ini "hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu"