KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) dijangka mengeluarkan hasil penyelesaian isu perkahwinan membabitkan pasangan yang gagal diberi nafkah dan tidak diceraikan mengikut proses betul, tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, pihaknya dalam proses perbincangan dengan Persatuan Ibu Tunggal, Kelab Carnation, Mahkamah Adat Bumiputera serta Pendaftar dari Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak untuk mendapatkan butiran lanjut.
"Sesi dialog yang diadakan buat pertama kali ini bertujuan membantu pasangan bukan Muslim terutama isteri dan anak-anak menuntut nafkah selain mengetahui isu dan masalah lain berkaitan dengan perkahwinan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Dialog bersama Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.
Menjelas lanjut, Fatimah memberitahu, terdapat mekanisme untuk membantu pasangan Muslim mendapatkan nafkah ketika ini iaitu melalui bantuan BSK di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang ditubuhkan pada 2008.
"Tetapi untuk golongan bukan Muslim langkah atau bantuan tertentu belum dilaksanakan, disebabkan itu kita mahu berbincang bagi memastikan kebajikan mereka khasnya isteri atau anak terjaga," kata beliau.
Tambahnya, BSK itu ditubuhkan bagi memastikan tiada isteri atau anak menghadapi masalah tuntutan nafkah selain dijadikan bantuan sara hidup sementara kepada mereka yang kemudiannya akan ditanggung oleh suami masing-masing.
"Apabila Mahkamah Syariah memberi arahan suami mesti membayar nafkah dan sekiranya didapati gagal, maka isteri atau anak boleh membuat aduan kepada Mahkamah Syariah supaya tindakan selanjutnya boleh diambil bagi membela nasib mereka," jelasnya.
Bantuan dari JKM
Kata beliau, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyediakan bantuan kepada ibu tunggal atau anak-anak bagi meringankan beban mereka tidak kira yang bukan Muslim mahupun Muslim.
"Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan kanak-kanak sebanyak RM100 hingga RM250 setiap seorang yang bertujuan membantu meringankan beban ibu tunggal memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.
Bagaimanapun, kata Fatimah, suami perlu menunaikan tanggungjawab mereka walaupun telah bercerai atau meninggalkan pasangan masing-masing.
Terdahulu, Fatimah memberitahu sebanyak 5,192 pasangan bukan Muslim mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran Negeri pada 2010.
Manakala, untuk bilangan pendaftaran perceraian ia mencatatkan jumlah keseluruhan kes sebanyak 793 pada tahun 2010.
Read More @ SourceMore » Bonology.com | Barisan Nasional (BN) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治








0 Comments:
Post a Comment