23 DIS — "A man is not a rogue and rascal and liar because he draws a false inference," ~ David Hume
Geli hati saya membaca pelbagai jenis cemuhan yang dilemparkan kepada Adam Adli, ada yang minta hantarnya ke Palestin, tak cukup dengan ludah, tampar, lempang, nombor telefon disiarkan di Internet dan segala macam penghinaan, ada yang hadir ke Bukit Aman semata-mata untuk "mengajar" Adam Adli yang dikatakan "kurang ajar".
Maka di Malaysia sudah jadi satu ke-"kurang ajar"-an jika menurunkan muka pemimpin, walau hanya untuk lima minit. Wah, kalau guna duit kerajaan 250 juta yang sepatutnya untuk urus lembu tapi beli kondominium, tidak "kurang ajar" kah?
Ernst Cassirer dalam "The Collected Papers of Albert Einstein" (Princeton University Press, 1987) menegaskan: "Teori fizik relativiti tidak mengajarkan bahawa apa yang dilihat oleh setiap orang adalah benar baginya, tetapi sebaliknya teori itu memperingatkan (agar berhati-hati) dengan petunjuk-petunjuk yang hanya dapat dilihat pada suatu sistem partikular.."
Hal relativiti ini, atau sebagaimana yang dikatakan "invarian" oleh Felix Klein dan Arnold Sommerfield, mirip konsep etika Nietzsche "Beyond Good and Evil" (Mozlowski, 1921). Konsep "invarian", yang khusus berfungsi untuk memperingat dengan hati-hati (turun gambar muka 5 minit) akan petunjuk yang dapat dilihat (guna duit kerajaan 250 juta). Saya cuma beri perbandingan, saudara boleh fikir sendiri yang mana lebih buruk kesannya kepada masyarakat.
Realpolitik "Malaysian Style"
Saya tidak peduli dengan Adam Adli. Saya lansung tidak berminat dengan insiden "turun muka 5 minit". Saya sebenarnya lebih berminat jika kiranya "Adam Adli and the gang" boleh buat demo di pejabat Naval Boustead Shipyard, kerana kenaikan kos pembuatan kapal hingga mencecah 30 bilion, atau jika boleh demo di pejabat Kementerian Kewangan susulan pendedahan pengaliran wang haram keluar dari negara sehingga 150 bilion pada 2009, kerana kedua-dua kes ini melibatkan duit rakyat yang besar.
Bayangkan berapa ramai warga negara berpendapatan rendah dan sederhana yang akan mendapat manfaat, kiranya ketirisan wang kerajaan boleh dipulihkan? Tetapi malangnya melalui real-politik "Malaysian-style", sebuah video klip berdurasi 1 minit 07 saat berjudul "Panglima Ludah Muka" boleh menenggelamkan semua isu masyarakat, hatta persoalan kondominium mewah untuk "lembu".
Saya fikir ini serius. Kini bukan lagi masa kita untuk berdebat soal sopan dan santun, kurang dan ajar. Masa untuk kita berbincang hal budaya sudah lepas, jati dan diri perlu dahulu kita gali sebelum menentukan sesuatu justifikasi berkait hal sopan dan santun, atau kurang dan ajar.
Ini adalah masa untuk kita berbincang hala dan tuju masyarakat, generasi muda terutamanya. Ini menarik, jarang saya kira di negara kita mahasiswa, golongan muda terpelajar yang terpilih memasuki universiti di negara ini, bercakap, berbincang malah mematerialkan secara fizikal isu berkait hala dan tuju negara. Saya cadangkan, kita melihat secara subjektif hal demonstrasi ini.
Adam Adli hanya sebuah sosok. Dia terpilih hanya kerana ketelanjurannya dalam insiden "turun muka 5 minit". Cuma perkara menarik yang perlu kita beri perhatian adalah sikap yang tertonjol melalui sosok Adam Adli tersebut. Adam Adli, berjaya menonjolkan sebuah sikap, kepercayaan yang dipercayainya benar dalam lingkungan pemikirannya.
Materialisasi sikap inilah perkara yang paling penting dalam fasa pertumbuhannya sebagai seorang anak muda. Sikap dan keyakinan, menjadikan seseorang mahasiswa, tidak lagi bersikap neutral terhadap ilmu. Kita boleh ada sehingga 5 juta warga muda, tetapi jika 5 juta tersebut semuanya tidak bersikap, tidak berani menyatakan pendapat, tidak mempunyai pandangan terhadap negara, tidak endah dengan isu semasa, tidak peduli dengan perkara yang menggeluti bangsa dan negaranya, jangan bercakap soal masa depan negara.
"Ideologi" dan ilmuan moden
Galileo dalam "Warkah Christina" (sewaktu memuncaknya peristiwa Copernicus dalam tahun 1615) menyatakan bahawa pertentangan antara agama dan sains tidak lain adalah sebab dicipta oleh profesor dalam bidang falsafah.
Malah ketika paderi Dominican yang berdarah panas mempersenda-sendakannya di mimbar gereja, Galileo lansung tidak menyalahkan paderi tersebut. Menurutnya, orang di belakang paderi tolol tersebut adalah profesor falsafah, yang mentafsir ayat Injil secara salah seraya mencipta bidah baharu. Galileo, lantas menyalahkan tabii manusia, bukannya agama.
Ali Syariati dalam bukunya Ideologi terjemahan Farid Gaban (1984) menyatakan "Ideologi" adalah ancaman yang besar buat kekuatan yang sedang berkuasa serta sistem kapitalis. Ilmuan moden menurutnya, selalu mempercayai bahawa keyakinan sudah mati, iaitu keyakinan hanyalah milik zaman kuno, zaman aristokrat mistik yang hdup pada abad pertengahan.
Ilmuan jenis ini katanya, seringkali mengingatkan diri mereka bahawa mereka harus bersikap objektif dan neutral dalam abad analisis ini. Oleh sebab mereka harus patuh kepada keobjektivian tersebut,objektiviti telah meneutralkan ilmu lantas menjadikan mereka sifar ideologi.
Ilmuan moden ini menurutnya lagi, menjual diri mereka kepada pemerintah untuk mendapat gaji besar dan kemewahan. Untuk melawan status quo ini menurut Ali Syariati adalah melalui ideologi. Mempunyai ideologi menurutnya adalah mempunyai suatu keyakinan kuat tentang bagaimana untuk mengubah status quo. Hanya ideologi yang mampu mencabar status quo yang lengkap dengan sejarah, tingkat sosial serta pengikut politiknya.
Bukan mudah untuk mendapat kesedaran ideologi sebegini. Aristotle dan Plato malahan, tidak mempunyai kesedaran sebegini. Tiada satu pun gerakan sosial atau revolusi yang digerakkan oleh mereka, untuk membantu golongan yang menderita pada zamannya. Yunani malah, jika mempunyai 1000 Ptolemeus sekalipun, tidak akan berguna kerana kehidupan mereka akan tetap sama seperti sebelumnya. Apa yang diperlukan Yunani bukanlah falsafah mahupun ilmuan, tetapi ideologi aktif yang diperlukan untuk memperbaharui dan mengubah nasib masyarakat bawahan yang sentiasa menderita.
Mise en Scene
Tidak sukar untuk kita faham meta naratif yang sedang berjalan kini. Mise en scene-nya cukup menarik; "set design"-nya saya kira grand, mana lagi jika bukan kawasan tiang bendera di PWTC. "Lighting"-nya dahsyat, lihat saja bagaimana "intensity" media yang dilimpahkan, tidak cukup YouTube, Facebook, blog, keluar pula di Utusan Malaysia, Berita Hairan, paling mutakhir Sinar Harian. Perhati pula bagaimana "space-presentation" yang diberikan, sehingga mempengaruhi "mood" para penonton.
Di Upsi sendiri, masih tidak berhenti demo-demo kecil diadakan di sekitar kawasan pusat pentadbiran. "Costume"-nya mengalahkan Maharaja Lawak Mega, panglima-panglima berperut boroi keluar beramai-ramai dengan modal "ptuih"-nya.
Persembahan lakonan masing-masing juga hebat, dimulai dengan babak turun bendera oleh Adam Adli, terdapat variasi sejarah dan budaya dapat kita saksikan terutamanya seni naturalistik oleh Adam Adli serta seni melodramatik oleh panglima ludah muka.
Galileo, tidak menyalahkan paderi ketika konfrontasinya dengan gereja, tetapi menyalahkan tabii manusia. Einstein malah menekankan teori relativitinya bergerak dari petunjuk-petunjuk yang hadir dari "second thought".
Adam Adli lahir dari sebuah sistem yang rosak. Tidak guna kita memaki, meludah atau melempangnya. Hal seperti SBPA dan PPSMI, yang dilaksanakan tanpa rundingan tidak akan selesai jika kita memenjarakan Adam Adli sekalipun. Sebegitu banyak masalah berkait bangsa dan negara, masalah pendidikan, masalah kakitangan awam, masalah ketirisan wang negara, masalah lembu negara, masalah pengangkutan awam, tidak akan selesai hanya melalui ugutan lucah terhadap Adam Adli.
Masalah hanya akan selesai melalui revolusi dan reformasi pemikiran. Di mana segala macam jenis ilmuan negara ini, yang hanya diam dan menurut perintah ketika negara benar-benar memerlukan mereka untuk mengatasi sekalian banyak masalah berkait bangsa dan masyarakat?
Masalah ilmuan moden sebagaimana yang dihurai oleh Ali Syariati di atas, sebahagian besarnya adalah akibat dari perancangan halus AUKU. AUKU secara halus, telah memenjarakan ilmuan moden di dalam penjara kebebasan akademik yang dinding tebalnya adalah pintu pagar universiti.
Ilmu ditinggalkan di dalam kampus dan di fakulti-fakulti sahaja. Ilmu tidak lagi mampu menjadi penyelesaian masalah kepada masyarakat. Jika ilmu dibawa keluar dari pintu pagar kampus, dikhuatiri akan dikenakan tindakan sebagaimana yang telah terjadi kepada Abdul Aziz Bari.
Kita wajar untuk tidak menyalahkan Adam Adli di atas keterlanjuranya dalam "insiden turun bendera 5 minit", kerana saya percaya sistem yang telah membentuk pemikiran Adam Adli adalah sistem yang rosak. Ilmuan kita, disebab penjara AUKU yang membelenggu lebih dari 30 tahun, tidak mampu mengajar lebih dari ilmu dan sikap yang berguna buat mahasiswa. Lebih menyedihkan, ilmuan kita, tidak mampu menunjukkan sikap mereka ketika masyarakat tertindas.
Adam Adli telah menzahirkan sikap dan keyakinannya. Hakikat bahawa tindakan Adam Adli mungkin salah, ya. Tetapi bukan kerja kita untuk menentukan kebenaran di sebalik tindakannya. Inilah zamannya untuk bereksperimentasi dengan ideologi dan kebenaran itu sendiri. Dia perlu bertanggungjawab terhadap konsekuen dari pilihannya tersebut.
Yang perlu kita khuatiri kini adalah ribuan mahasiswa lain yang masih terpinga-pinga di antara ideologi diri, pegangan, serta sikap dan keyakinan yang mereka pilih. Tidak guna kita sibuk menghukum Adam Adli, ketika ribuan mahasiswa lain di seluruh negara sibuk bergembira, melahirkan anak luar nikah, serta seribu satu masalah sosial yang lain.
Kepada panglima-panglima ludah muka, saya ucapkan syabas dan tahniah di atas lakonan anda yang begitu memberansangkan. Kerana ada pelakon hebat seperti andalah, mahasiswa kini lebih gemar Maharaja Lawak Mega daripada Syarahan Perdana Prof. Al-Attas. Kepada Adam Adli, hanya sepotong frasa Greek yang dapat saya sampaikan kepada anda; "Pathei mathos"; iaitu kebijakan datang daripada kesakitan.
Dan kepada anda yang bijak membaca dan melihat lapis kedua dan ketiga disebalik "The Chronicles of Panglima Ludah Muka and Adam Adli"; sandiwara ini tidak lain dan tidak bukan diadakan hanya untuk menarik perhatian rakyat, daripada isu sebenar yang terhasil akibatnya.
Isu kebebasan akademik dan penjara ilmu dikalangan ilmuan moden kita, masih tidak terselesai.
* Zul Fikri Zamir adalah pelajar pasca-siswazah di salah sebuah IPTA dalam negara.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.