Yang Berhormat Tuan Speaker,
Sebelum menyentuh isu Bersih, izinkan saya memuji Yang Berhormat Taman Templer yang dua hari berturut-turut memakai tali leher kuning. Sekali mungkin tersilap atau tidak perasan, kalau dua kali mungkin niatnya hendak duduk di kerusi kosong di sebelah saya. Dahulu diduduki oleh Pelabuhan Klang tetapi Taman Templer bukan setakat lagi hebat dari Pelabuhan Klang, lebih layak dari Seri Serdang menjadi Ketua Pembangkang.
Izinkan saya memulakan ucapan saya dengan kata-kata ini:
Kerajaan yang kuat ialah Kerajaan yang tidak takut mengamalkan demokrasi.
Tun Dr. Ismail Abdul Rahman,
Menteri Dalam Negeri
Julai 1969
Itu bezanya Menteri Dalam Negeri UMNO dahulu berbanding Menteri Dalam Negeri UMNO hari ini. Meskipun Tun Dr. Ismail memegang jawatan tersebut ketika negara dilanda tragedi 13 Mei 1969, beliau dihormati semua kerana pendiriannya yang berprinsip yang dirakam di dalam buku the Reluctant Politician.
Saya membawa usul tergempar ini ke Dewan Negeri Selangor memandangkan saya merasakan penting untuk Dewan mengambil pendirian dalam isu penangkapan dan halangan yang dikenakan terhadap BERSIH.
Sejurus selepas 13 Mei, Kerajaan telah memperkenalkan Rukunegara bagi memulihkan perpaduan negara ketika itu.
Saya pasti kita semua ingat prinsip-prinsip Rukunegara:
? Kepercayaan kepada Tuhan
? Kesetiaan kepada raja dan negara
? Keluhuran perlembagaan
? Kedaulatan undang-undang
? Kesopanan dan kesusilaan
Kesemua prinsip-prinsip Rukunegara telah dicabuli oleh Kerajaan Persekutuan UMNO-BN yang dipimpin YAB Dato Seri Najib Tun Razak dan Polis Di Raja Malaysia dalam ketakutan mereka menghadapi BERSIH.
Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian,
Sebelum BERSIH berlangsung, UMNO-BN dan Polis telah menggunakan pelbagai cara bagi menggagalkannya dan menekan penganjur BERSIH. Lebih 200 aktivis BERSIH dan pemimpin Pakatan Rakyat dan PSM telah ditangkap di atas pelbagai tuduhan termasuk melancarkan perang terhadap Seri ! Paduka B aginda Yang Di Pertuan Agong. Ada yang ditahan di bawah Ordinan Darurat. Ada yang ditahan semata-mata kerana memakai kemeja T berwarna kuning malah kasut berwarna kuning.
Sebagaimana kata-kata Yang Berhormat Bukit Antarabangsa semalam adakah takhta DYMM Sultan di hadapan ini juga hendak dirampas semata-mata keran berwarna kuning?
Bagi Karnival Mesra Rakyat Bersama Menteri Besar yang diadakan di DUN Seri Setia, antara lain saya menjemput ikon dan personaliti TV Wardina Safiyyah untuk menyampaikan ceramah motivasi pada sebelah malam yang turut dihadiri Yang Berhormat Bukit Antarabangsa. Kebetulan Wardina menasihatkan ibu bapa untuk menekankan tentang kebersihan setempat dan ada gambar beliau bersama saya, Bukit Antarabangsa dan Ahli Majlis kawasan yang secara kebetulan memakai baju BERSIH. Beliau terus diserang teruk oleh bloggers-bloggers UMNO kononnya beliau menyokong Perhimpunan BERSIH.
Saya turut dijemput ke Ceramah BERSIH anjuran Pakatan Rakyat Kuala Langat bersama-sama Yang Berhormat Sijangkang. Namun dewan asal telah dikepung oleh polis dan kami terpaksa berpindah ke Surau Kg. Mujahideen dan pegawai polis minta ditukar program ke Program Israk Mikraj. Saya tak hebat macam sesetengah Yang Berhormat seperti Meru, Kota Anggerik atau Hulu Klang, ilmu tak cukup nak sampaikan kuliah Israk Mikraj tanpa sebarang persediaan!
Bercakap soal kebersihan setempat tidak boleh, memakai baju kuning tidak boleh, hatta memakai kasut kuning pun tidak boleh.
Tepuk dada, tanya selera. Siapakah komunis hari ini? BERSIH atau UMNO-BN?
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Pada 3 Julai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah pun menitahkan agar pihak Kerajaan Persekutuan dan BERSIH untuk berunding secara baik. Dalam titahnya, Baginda menasihatkan Kerajaan Persekutuan:
Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara b! ermasyar akat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Kemudian Datuk S Ambiga, Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin mewakili BERSIH telah mengadap Yang Dipertuan Agong dan mengumumkan bahawa BERSIH bersetuju untuk menarik diri daripada perhimpunan jalanan kepada stadium.
YAB Perdana Menteri kemudian mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersedia untuk bertemu dengan BERSIH dan membenarkan perhimpunan 9 Julai dibuat di stadium. Namun beliau enggan mengarahkan Menteri Dalam Negeri membebaskan semua tahanan mahupun menarik balik pengharaman BERSIH.
Namun Menteri Dalam Negeri kemudiannya menarik balik tawaran stadium dan meminta program diadakan di stadium negeri Pakatan Rakyat. Masalahnya bagi stadium negeri Pakatan Rakyat tidak perlu Perdana Menteri menawarkan, sudah lama pun kita adakan program di sana. Ibu negara Malaysia masih lagi Kuala Lumpur, jadi sudah tentulah rakyat hendak berarak di Kuala Lumpur.
BERSIH boleh mendengar titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong. YAB Perdana Menteri engkar.
Tepuk dada, tanya selera. Siapakah yang derhaka hari ini? BERSIH atau UMNO-BN?
Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian,
Saya seperti Yang Berhormat-Yang Berhormat Kerajaan di Dewan ini berada bersama kira-kira 50,000 rakyat yang berhimpun secara aman. Rakyat berhimpun secara aman Melayu, Cina dan India malah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak. Ada doktor-doktor kerajaan, ada ketua-ketua jabatan, ada pelajar-pelajar Kolej. Ada pemandu teksi dan ustaz-ustaz yang datang dari kampung. Ada nenek tua yang digelar Lady of Liberty. Ada yang datang bersama anak-anak. Kami berhimpun menjerit Bersih, Daulat Tuanku, Hidup Rakyat dan menyanyikan lagu Negaraku. Dalam kegagalan Perdana Menteri merealisasikan 1Malaysia dengan konsultasi jutaan ringgit APCO, rakyat merealisasikannya di Perhimpunan BERSIH.
Namun kami dilayan lebih hina daripada sampah. Pimpinan dan aktivis BERSIH 2.0 dan! Pakatan Rakyat ditembak dengan gas pemedih mata secara dekat, ada yang ditendang dan ditangkap. Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Samad ditembak gas pemedih mata secara langsung sehingga pegawai peribadi Datuk Seri Anwar terkoyak pipinya dan kepala YB Khalid terpaksa dijahit 6 kali. Motosikal yang dibonceng Haji Mohamad Sabu pula dilanggar oleh kenderaan polis sehingga lutut kanannya cedera teruk seperti kita saksikan semalam.
Lebih mendukacitakan lagi, Sdr Baharuddin Ahmad, seorang anggota PAS dan suami kepada Ketua Wanita KEADILAN Setiawangsa, Rusni Melan, meninggal dunia selepas terperangkap di dalam gas pemedih mata. Pihak Polis tidak mengendahkan permintaan agar Allahyarham diberikan rawatan perubatan dan van untuk menyelamatkan beliau hanya sampai ke tempat kejadian 90 minit kemudian.
Sewaktu saya menuntut di London selama tiga tahun, saya banyak turut serta di dalam demonstrasi menentang peperangan Iraq. Pernah, dua juta orang termasuk rakyat Britain beragama Kristian dan Islam berarak di bandaraya London. Namun permit diberikan, hanya jalan di sepanjang laluan perarakan ditutup dan lebih penting lagi polis menjaga keselamatan rakyat yang berarak. Saya ulangi, polis menjaga keselamatan rakyat, bukan menjadi perkakas kepada kerajaan yang zalim.
Aneh sekali, saya seorang Muslim lebih selamat berarak membantah Britain dan Amerika menawan sebuah negara Islam berbanding berarak menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara sendiri yang dipimpin Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang semuanya Muslim. Mungkin ini petanda akhir zaman.
Sebab itu perhimpunan BERSIH yang diadakan di Australia, Singapura, Thailand, Jepun, Taiwan, Korea, Britain, Dubai dan Amerika Syarikat berlangsung dengan aman damai. Hanya di negeri sendiri BERSIH menjadi perkataan kotor.
Pada sebelah malam pula, saya menerusi KEADILAN Kelana Jaya mengadakan Ceramah di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya. Meskipun saya bersetuju ! dengan p ermintaan Polis agar memindahkan program daripada padang bola sepak kepada dewan, namun pihak Polis tidak memberikan permit dan kira-kira 250 orang anggota Polis mengepung Kompleks tersebut pada malam itu. Sekatan Polis yang ditumpukan pada perhimpunan BERSIH 2.0 dipindahkan ke sekitar Kelana Jaya pula.
Apabila saya meminta penjelasan Polis, jawapan mereka ialah tiada permit meskipun tapak tersebut bukan kawasan awam. Apabila saya memaklumkan perkara tersebut mereka membalas bahawa wujud ancaman keselamatan tanpa memberikan sebarang bukti.
Ini satu penghinaan kepada Kerajaan Negeri Selangor memandangkan saya sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan tidak boleh mengadakan program di dewan milik badan berkanun Kerajaan Negeri sendiri. Adakah Polis lupa bahawa Pakatan Rakyat sudah dipilih rakyat sebagai Kerajaan Negeri?
Saya tahu ramai pegawai-pegawai Polis yang cintakan negara tidak lagi menggunakan arahan menurut perintah atau menjalankan tugas untuk menjadi perkakas kepada UMNO-BN. Dalam Islam jelas, kepatuhan kepada pemerintah hanya sekiranya tidak bertentangan dengan syariat. Mencederakan, memukul mahupun menzalimi rakyat jelas bertentangan dengan syariat.
Sebagaimana kata Saidina Ali, kita sesama Islam merupakan saudara dalam Islam (akhukum fil Islam) dan kita dengan bukan Islam pula saudara dalam kemanusiaan (akhukum fil Insaniah). Di dalam kubur nanti, jawapan menurut perintah membuta tuli tidak lagi boleh dijadikan alasan.
Justeru, saya menggesa Kerajaan Persekutuan dan Polis menghentikan segera sebarang tangkapan dan halangan terhadap BERSIH 2.0 dan menumpukan masa, tenaga dan sumber mereka bagi membebaskan rakyat daripada jenayah yang membelenggu masyarakat hari ini.
Saya turut meminta agar Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas terhadap pencabulan Perlembagaan Persekutuan ini. Saya mencadangkan Kerajaan Negeri:
i. Memulakan tindakan undang-undang kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Daerah Peta! ling Jay a berdasarkan pencabulan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan;
ii. Memastikan kejadian sama tidak berulang lagi di mana-mana premis milik Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun Negeri, GLC Negeri dan PBT.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Benar kata-kata Ronggorwarsito, penyair Jawa yang menyebut tentang Jaman Edan atau zaman gila. Warna kuning ditakuti, perkataan BERSIH menjadi kotor, rakyat dizalimi dan Perlembagaan seolah-olah dibuang ke bakul sampah.
Mengapakah Perdana Menteri dan UMNO-BN begitu takutkan rakyat yang ingin Pilihan Raya Bebas dan Adil? Tepuk dada, tanya selera.
Izinkan saya akhiri ucapan saya dengan sajak Peludah Warna oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.
Sekitan terima kasih, saya mohon mencadang.