KUALA LUMPUR: Para pemimpin Pakatan Rakyat bersama lebih 300 rakyat Libya dan 100 warga tempatan menganjurkan demonstrasi secara aman di kawasan sekitar Kedutaan Libya di sini petang tadi menuntut Presiden Muammar Gaddafi segera meletak jawatan.
“Kami desak Gaddafi berundur secara terhormat,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ketika berucap di depan rakyat Libya dalam demonstrasi yang berlangsung selama 45 minit selepas solat Jumaat.
Selain menuntut Gaddafi meletak jawatan katanya, tentera Libya juga didesak agar menghentikan pembunuhan ke atas orang ramai dengan serta merta.
“Tuntutan ketiga ialah agar pilihan raya bebas dan adil diadakan di negara tersebut,” katanya.
Menurut Nurul, kesemua tuntutan ini terkandung dalam memorandum yang telah diserahkan kepada Timbalan Duta Besar, Kedutaan Libya.
Dalam suasana aman itu, bergema kalimah “La illa ha illallah, Gaddafi musuh Allah” dalam bahasa Arab, yang dilaungkan peserta demonstrasi tersebut.
Ketika menghampiri lokasi kedutaan, rata-rata peserta demonstrasi turut melaungkan kata-kata “Malaysia Boleh, Gaddafi Tak Boleh.”
Jalan menuju kedutaan ditutup
Bagaimanapun, mereka tidak dapat mendekati perkarangan Kedutaan Libya kerana jalan menuju ke kedutaan ditutup oleh pasukan polis dari Unit S impanan Persekutuan.
Seorang peserta demonstrasi Bilal Omar, 26, berkata rejim Gaddafi telah membunuh lebih kurang 3,000 rakyat dalam tempoh seminggu sahaja.
Seorang lagi peserta demo, Ahmad Muhammad Khalid, 23, yang mempunyai sanak saudara yang berkhidmat di dalam angkatan tentera Libya mendakwa bahawa tentera Libya tidak membunuh rakyat Libya.
“Gaddafi mengupah orang luar untuk membunuh rakyat Libya,” kata Ahmad.
Ketika ditemui selepas demonstrasi, Nurul memberitahu FMT bahawa beliau hairan dengan kehadiran polis yang begitu ramai berbanding dengan demonstrasi yang berlangsung di hadapan Kedutaan Mesir dua minggu lalu.
“Hati saya tersentuh melihat rakyat Libya berdemonstrasi bersama rakyat Malaysia. Mesej kita sudahpun diberikan. Demonstrasi ini merupakan satu peristiwa yang memalukan kepada kerajaan Libya,” kata Nurul ketika mengulas berkenaan dengan demonstrasi ini.
Selain Nurul, turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Syed Azman Syed Nawawi;
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan.









0 Comments:
Post a Comment